YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika meninjau keadaan Pekan Bukit Tinggi selepas kawasan itu dilanda banjir kilat semalam.

KERAJAAN PAHANG LULUS RM200,000 ATASI BANJIR KILAT DI BUKIT TINGGI

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 13 FEBRUARI 2023 : Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200,000 bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di sekitar Janda Baik dan Bukit Tinggi semalam.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut bertujuan memperbaiki sistem perparitan sebelum usaha jangka masa panjang diambil.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Jadi pada hari ini Kerajaan Negeri meluluskan RM200,000 untuk tindakan serta merta membaiki perpaipan, longkang, ada yang tersumbat, tetapi ini untuk jangka masa pendek.

“Untuk jangka masa panjang saya telah meminta agar satu permohonan rasmi dan mereka memaklumkan tadi peruntukan dalam RM4 juta hingga RM5 juta iaitu untuk membuat jambatan untuk mengelak kejadian sama berulang sekiranya hanya diperbaiki sahaja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian banjir kilat di Bukit Tinggi dan Janda Baik di sini hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika meninjau keadaan Pekan Bukit Tinggi selepas kawasan itu dilanda banjir kilat semalam.

Dalam kejadian tersebut, sebanyak lima buah rumah dan 15 premis perniagaan terlibat dengan tragedi banjir kilat itu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Bentong, YB Young Syefura Othman yang meminta agar satu siasatan dibuat berhubung penerokaan tanah di kawasan berhampiran yang berkemungkinan mengakibatkan banjir kilat tersebut, beliau berkata, ianya bukanlah penyebab utama kejadian berkenaan.

“Penyebab utama adalah hujan lebat, bagaimanapun, saranan daripada Ahli Parlimen tersebut, Kerajaan Negeri akan tengoklah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram