Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 13 FEBRUARI 2023 : Pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dijangka selesai sepenuhnya pada September ini memandangkan proses pembinaannya telah mencapai 90 peratus kemajuan buat masa ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, berdasarkan taklimat yang diterima proses pembinaan ini dijangka selesai lebih awal dengan pertambahan pekerja.
“Kita jangka siap sepenuhnya secara fizikalnya ada pada bulan Mei dan Julai, bermula pada bulan Mei dan proses sepenuhnya dijangka pada bulan September.

“Dan kita dapati pihak pemaju telah berusaha sedaya upaya melaksana dengan mengambil tambahan pekerja dan progress yang dicapai ini dapat dilihat ada yang telah mencapai kemajuan. Dengan pertambahan bilangan pekerja yang lebih ramai sudah tentu akan mempercepatkan lagi proses pembinaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pemaju serta lawatan ke Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini hari ini.
Beliau turut berharap pihak pemaju dapat meningkatkan kadar pembinaan PPSAS dengan lebih cepat memandangkan ada sesetengah bahagian pembinaan yang sedikit terlewat dari perancangan.
“Saya berharap pihak kontraktor dapat terus meningkatkan lagi prestasi dengan mempercepatkan lagi sesetengah bahagian yang perlu kita capai mengikut target untuk siap .
“Dalam lawatan hari ini ke Blok A ini seperti contohnya ke Pejabat YAB Menteri Besar Pahang dan kawasan sekitarnya, dan insyaAllah pada bulan hadapan kita akan dapat lihat progress yang lebih baik,” katanya. – PAHANGMEDIA