Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika Majlis Perasmian Sambutan Hari Radio Sedunia 2023 di Pekarangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Pahang, yang disertai 34 penyampai daripada 34 stesen radio RTM seluruh negara, hari ini.

PERANAN RADIO DIDIK MASYARAKAT, SEBAR MAKLUMAT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 13 FEBRUARI 2023 : Radio bukan sahaja berperanan menyampaikan maklumat dan menghiburkan para pendengar malah turut memikul tanggungjawab dalam mendidik masyarakat dan antara medium yang berpengaruh sejak sekian lama.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, peranan tersebut selaras dengan tema sambutannya pada kali ini yang memfokuskan aspek keamanan.

“Selain menghiburkan,menyampaikan maklumat, peranan radio yang paling penting adalah mendidik masyarakat dengan penyebaran berita secara kreatif, yang berkelangsungan sekian lama dan hari ini diteruskan dengan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Radio Sedunia 2023 di Pekarangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Pahang, yang disertai 34 penyampai daripada 34 stesen radio RTM seluruh negara, hari ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Penyiaran, YBrs Encik Suhaimi Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Penyiaran), YBrs Ts. Putri Joliana Yaacob, Pengarah Bahagian Program Radio, YBrs Puan Norain Haji Bakir dan Pengarah Jabatan Penyiaran Pahang, YBrs Encik Ariffin Awang.

Pada majlis itu, sebanyak 12 ekor burung merpati dilepas sebagai simbolik kebebasan pemikiran dan keberanian meneroka platform-platform baharu dan ia juga melambangkan 12 tahun Sambutan Hari Radio Sedunia diraikan.

Pihak RTM Pahang turut melaksanakan tanggungjawab korporat sosial (CSR) dalam menyumbang terhadap kelestarian alam sekitar dengan menanam 1,000 anak pokok di Pantai Kempadang dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan disertai 300 peserta selain mengadakan gotong-royong memasak makanan untuk diagihkan kepada anak-anak yatim dan gelandangan.

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, YBrs Encik Suhaimi Sulaiman, pelbagai usaha dilakukan RTM untuk memberikan info semasa yang sahih dan mutakhir selain memberikan hiburan kepada pendengar khususnya masyarakat tempatan dalam menyokong konsep Malaysia Madani. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram