Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 8 FEBRUARI 2023 : Rakyat di negara ini diharap lebih bersyukur kerana tidak diuji dengan bencana dan tragedi buruk seperti yang berlaku di Turkiye dan Syria, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Baginda bertitah, rakyat di negara ini mungkin menghadapi musibah banjir saban tahun namun kesannya tidaklah seteruk bencana gempa bumi yang melanda kedua-dua buah negara berkenaan sehingga meragut ribuan nyawa.
“Saya nak menyeru kepada semua rakyat bersimpati terhadap kejadian yang menimpa Turkiye dan Syria… Agak malang bagi rakyat di sana.
“Saya harap kita dapat berdoa dan sembahyang hajat supaya dapat memberi rahmat kepada mereka yang telah kehilangan nyawa.
“Kita harus bersyukur di sini kita hanya menghadapi banjir sahaja tahun demi tahun. Namun, kita harus bersabar dan bersyukur di atas musibah ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas bercemar duli menziarahi dan menyampaikan kurniaan kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SAR KAFA Al Ubudiah Al Jariah Taman Guru, hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja,
Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan menziarahi dan menyampaikan kurniaan kepada mangsa banjir di dua buah PPS lain iaitu di SK Bunut Rendang dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kuantan.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak,
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan serta Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Sementara itu, baginda dalam titahnya berharap agar semua penduduk terjejas banjir di Pahang dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.
Baginda bertitah keadaan cuaca baik sejak semalam juga diharap berterusan dan keadaan banjir dapat pulih sepenuhnya.
“Saya harap cuaca akan bertambah baik mudah-mudahan, saya harap semua (penduduk) yang terpaksa pindah boleh pulang ke rumah semua,” titah baginda. -PAHANGMEDIA