Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika telekomunikasi baharu di Kampung Orang Asli Kuala Boh di Cameron Highlands

PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU DI KUALA BOH DIJANGKA SELESAI OGOS INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

CAMERON HIGHLANDS, 07 FEBRUARI 2023 : Pembinaan menara telekomunikasi baharu dengan kos kira-kira RM2 juta di Kampung Orang Asli Kuala Boh dijangka selesai sepenuhnya Ogos ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata buat masa kini, penduduk di kawasan berkenaan menggunakan projek internet jalur lebar teknologi satelit atau Broadband Wireless Access (BWA).

“Sebelum ini ada sedikit isu berkaitan perolehan tanah dan sebagainya sehingga menyebabkan berlaku kelewatan bagi pembinaan ini tapi dalam mesyuarat yang kita adakan pagi tadi kita telah mencapai kata sepakat untuk mempercepatkan, kita nak fast track sebab banyak lagi pembinaan menara telekomunikasi yang tergendala.

“Dan kita harap menara ini dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan, dan buat masa sekarang, interim solution kita hanya untuk enam bulan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pembinaan menara telekomunikasi baharu di Kampung Orang Asli Kuala Boh di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), YBhg. Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus; Pengarah MCMC Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor; Ahli Dewan Negeri Tanah Rata, YB. Ho Chi Yang; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, YBhg. Tuan Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.

Menurut beliau lagi, pembinaan menara baharu ini dijangka dapat memberi manfaat kepada hampir 800 penduduk di kampung berkenaan yang bergantung sepenuhnya dengan penggunaan BWA buat masa ini.

“Buat masa sekarang, penduduk menggunakan BWA yang dipasang pada November 2021 dengan radius penggunaan kira-kira 100 meter daripada kawasan yang dipasang, serta berkapasiti 8GB setiap seorang bagi tempoh satu minggu.

“Dan kapasiti ini juga telah ditingkatkan kepada 12GB sekarang memandangkan penggunaan yang tinggi setiap bulan oleh penduduk,” katanya.

Pada 7 Januari lepas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah turut bertitah agar pembinaan menara telekomunikasi dapat dibina di kampung berkenaan memandangkan tiada liputan di perkampungan tersebut.

Untuk rekod, sebanyak 69 projek pemasangan BWA telah dilakukan di 69 Kampung Orang Asli di seluruh negeri ini yang selesai sepenuhnya pada April tahun lepas. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram