Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 FEBRUARI 2023 : Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 4,230 mangsa melibatkan 1,240 keluarga setakat pagi ini di Kuantan dan Pekan.
Menurut laporan daripada Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pahang, kesemua mangsa ditempatkan di 23 PPS.
Laporan tersebut menyatakan Kuantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi dipindahkan iaitu melibatkan 4,120 mangsa daripada 1,208 keluarga yang ditempatkan di 19 buah PPS.
Manakala di Pekan, sebanyak 110 mangsa dipindahkan ke empat buah PPS yang melibatkan 32 keluarga.
Sementara itu, laporan berkenaan turut menyatakan dua sungai utama di negeri ini merekodkan bacaan pada paras bahaya iaitu Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan yang kini menunjukkan trend menurun, serta Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong di Rompin yang menunjukkan trend menaik.
Laporan berkenaan juga menyatakan enam buah sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan; dan Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut yang menunjukkan trend menaik.
Manakala Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; dan Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah di Lipis yang berada pada paras amaran merekodkan bacaan kekal. – PAHANGMEDIA