Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 FEBRUARI 2023 : Seramai 1,310 mangsa daripada 342 keluarga dipindahkan ke enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuantan setakat ini.
Menurut laporan daripada Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pahang keadaan banjir di daerah ini juga menunjukkan trend meningkat.
“Seramai 560 mangsa dari 140 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Dato Manan; PPS Dewan Orang Ramai Sri Damai (57 mangsa, 12 keluarga); dan PPS Dewan Orang Ramai Jaya Gading (30 mangsa, 11 keluarga)
“Di PPS Dewan Orang Ramai Sri Mahkota menempatkan 143 mangsa daripada 42 keluarga; PPS Dewan Orang Ramai Taman Tas (220 mangsa, 55 keluarga); PPS Wisma Belia (300 mangsa, 92 keluarga),” menurut laporan berkenaan.
Menurut laporan berkenaan juga, semua lapan sungai utama di negeri ini mencatatkan peningkatan paras air dengan Sungai Lembing; Sungai Kuantan di Bukit Kenau; serta Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan berada pada paras bahaya.
Manakala Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong di Rompin berada pada paras amaran, diikuti Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan berada di paras waspada. -PAHANGMEDIA