Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal bersama atlet Pahang pada Majlis Perjumpaan Bersama Atlet-atlet Negeri Pahang di Bawah Program Kebangsaan di Auditorium Majlis Sukan Negara Malaysia di Bukit Jalil hari ini

PAHANG CADANG HANTAR PEGAWAI MSP KE MSN, ISN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 03 FEBRUARI 2023 : Kerajaan Pahang bercadang untuk menghantar pegawai sukan dari Majlis Sukan Pahang (MSP) bagi mempelajari program-program yang telah dijalankan di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk diterapkan di negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia merupakan pelan jangka pendek yang akan dijalankan dengan segera.

“Pelan jangka pendek yang pertama, paling segera kita akan hantar pegawai untuk berkampung seminggu atau dua minggu di MSN dan ISN untuk belajar, mendalami dan memahami pakej program yang terbaik yang dilaksanakan dan berjaya.

“Saya tertarik dengan ISN, program pengkomersilan dengan pihak swasta dan banyak program di MSN yang kita boleh pelajari. Jadi yang terdekat ini kita hantar pegawai dari MSP ke MSN dan ISN dan belajar betul-betul supaya inisiatif tersebut dibawa balik ke Negeri Pahang,” katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Bersama Atlet-atlet Negeri Pahang di Bawah Program Kebangsaan di Auditorium Majlis Sukan Negara Malaysia di Bukit Jalil hari ini.

Beliau berkata, cadangan untuk menghantar pegawai berkenaan akan dijalankan dalam tempoh selewat-lewatnya dua minggu lagi bagi memastikan kemajuan sukan di negeri Pahang.

Beliau sebelum ini turut melakukan kunjung hormat kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Malaysia, YBhg. Dato Haji Ahmad Shawapi Ismail; serta kepada Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ybhg. Encik Mohd Faedzal Ahmad Ramli. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram