Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 2 FEBRUARI 2023 : Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 13 juta pelancong domestik dan antarabangsa akan melancong ke Pahang sepanjang tahun tahun ini berbanding 10.18 juta pelancong pada tahun lalu.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata, jumlah tersebut adalah realistik kerana sektor pelancongan telah pun dibuka sepenuhnya berbanding 2022 yang mula di buka pada suku kedua tahun tersebut.

“Kita merekodkan jumlah kedatangan pelancong untuk kategori pantai dan pulau melebihi 2.5 juta pengunjung pada tahun lepas.
“Untuk kategori kembara dan alam semulajadi, kita merekodkan sebanyak 706,000 pelancong ini termasuklah Sungai Lembing, Temerloh, Maran, Taman Negara, Lipis, Raub, Bentong, Bera dan lain-lain.
“Bagi tanah tinggi kita ada Bukit Fraser, Bukit Tinggi, Janda Baik, Genting Highlands dan Cameron Highlands, jadi secara keseluruhan untuk kategori tanah tinggi kita merekodkan jumlah melebihi 6.9 juta pelancong pada tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang dan penggiat pelancongan Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Tourism Pahang, YBhg Encik Kamaruddin Ibrahim, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Pahang, Encik Mohd Fharid Saidu dan Pengerusi Matta Fair Pahang, Encik Alex Chea. – PAHANGMEDIA