Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim bersama peserta pada Majlis Perasmian Penutupan Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) 2023 Peringkat Negeri Pahang di Hotel Zenith, hari ini.

PEROLEHAN KOPERASI DI PAHANG RM572 JUTA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Salman Mohd Zaki

KUANTAN, 02 JANUARI 2023 : Pahang berada pada kedudukan ketiga di Malaysia dalam perolehan koperasi dengan jumlah sebanyak RM572 juta setakat Jun 2022 tahun lalu.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, jumlah perolehan ini adalah daripada 1,143 jumlah koperasi di seluruh negeri ini melibatkan keanggotaan seramai 290,946 orang.

“Perolehan ini meletakkan Negeri Pahang di kedudukan nombor ketiga selepas Wilayah Persekutuan. Perolehan tersebut dijangkakan mampu mencecah sehingga lebih RM800 juta ke RM1 bilion sehingga Disember 2022, berdasarkan catatan statistik tahun sebelumnya iaitu 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) 2023 Peringkat Negeri Pahang di Hotel Zenith, hari ini.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan dan Perundingan Koperasi Institut Koperasi Malaysia, YBhg. Puan Najmah Nawawi; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang, YBhg. Encik Ibrahim Husain; Pengerusi Angkasa Negeri Pahang 1 (Timur), YBhg. Tuan Haji Mohd Zahidi Haji Husain; dan Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Timur, Puan Haslinda Sujak.

Menurut beliau, sebanyak sepuluh koperasi di negeri ini turut tersenarai dalam 100 koperasi terbaik di Malaysia bagi tahun 2022 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Profil 100 koperasi terbaik seluruh Malaysia 2022 yang dikeluarkan oleh SKM mencatatkan 10 koperasi di Negeri Pahang yang tersenarai di dalam profil ini.

“Saya menzahirkan rasa syukur dan berbangga apabila Koperasi Serbaguna Dara Berhad, Koperasi Felda Sebertak Pahang Berhad, Koperasi Peserta Felda Sungai Koyan 2 Berhad, Koperasi Felda Sungai Koyan 3 Raub Berhad dan Koperasi Peneroka Felda Keratong 2 Rompin Berhad adalah antara yang turut berada dalam kalangan 10 yang terbaik di Negeri Pahang ini,” katanya. katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram