Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koperasi dan Usahawan Negeri di Wisma Sri Pahang hari ini.

RM22.85 JUTA DIPERUNTUK BAGI SKIM I-PUSH TAHUN 2023

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 31 JANUARI 2023 : Sebanyak RM22.85 juta diperuntukkan bagi Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) tahun ini melibatkan 2,415 permohonan.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, temuduga bagi program lanjutan daripada tahun lepas ini akan dijalankan pada Februari ini.

“Program ini merupakan satu lagi program yang telah dijalankan pada tahun lepas dan disambung pada tahun ini. Untuk tahun ini, bagi I-PUSH kita ada 2,415 yang telah berdaftar, dan yang akan kita buat temuduga di setiap daerah,” katanya.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Koperasi dan Usahawan Negeri di Wisma Sri Pahang hari ini.

Menurut beliau lagi, tiada jumlah khas ditetapkan mengikut pecahan daerah bagi permohonan temuduga skim berkenaan dan ia akan terbuka pada semua permohonan berdaftar iaitu 2,415 dan bergantung kepada kelayakan, menepati kriteria dan syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa yang dijalankan hari ini dapat mengenalpasti cara membantu para usahawan di negeri ini memasarkan produk mereka ke peringkat yang lebih luas.

“Ia untuk kita bantu mereka ke peringkat seterusnya dan kita juga banyak berbincang mengenai penganjuran program, usahawan-usahawan yang berminat boleh datang untuk mengenengahkan produk mereka,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram