YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Mesyuarat Dua Hala Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor di Wisma Sri Pahang hari ini.

KERAJAAN PAHANG, SELANGOR BENTUK JAWATANKUASA TEKNIKAL MELIBATKAN HUBUNGAN DUA HALA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 JANUARI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor akan membentuk jawatankuasa teknikal bagi membincangkan secara terperinci berkenaan beberapa perkara berkaitan hubungan dua hala kedua-dua negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pertemuan dua hala ini cukup penting terutamanya dalam memperkukuhkan hubungan secara strategik, mampan serta berimpak tinggi.

“Antara perkara dan isu yang dibincangkan dalam pertemuan ini adalah berkenaan isu Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor; isu pendakian gunung dan bukit dalam hutan simpan yang bersempadanan kerana ada beberapa perkara yang kita rasa pendaki-pendaki yang mendaki tanpa mendapat permit dan sekiranya berlaku apa-apa akan menyukarkan kedua-dua Kerajaan Negeri.

“Kita juga bincang berkenaan penguatkuasaan bersama di sempadan berkenaan lori balak lebih muatan; penandaan sempadan Negeri Pahang dan Selangor yang mana telah pun dimuktamadkan cuma kita nak buat penandaan dan insyaAllah dalam masa terdekat; kawalan pembangunan sempadan khususnya di Genting Highlands; serta cadangan tawaran penggunaan pusat Lllatihan di Negeri Selangor kepada Negeri Pahang.

“Tadi kita dah bersetuju supaya Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Selangor akan duduk sekali bagi membincangkan (siapa yang terlibat dalam jawatankuasa yang akan dibentuk) dan lapor kepada kami berdua dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Dua Hala Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor di Wisma Sri Pahang hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari selepas Mesyuarat Dua Hala Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor di Wisma Sri Pahang hari ini.

Mengulas lanjut berkenaan penubuhan jawatankuasa berkenaan, YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jawatankuasa yang dirancang tersebut bergantung kepada isu yang berkaitan.

“Sebenarnya bukan satu committee. Tapi banyak. Kita lihat apa yang berkaitan dengan kawasan tinggi sebagai contoh, ada yng berkaitan dengan hutan, ada yang berkaitan dengan pengurusan bekalan air, tadi dibangkitkan bekalan makanan dan infrastruktur.

“Jadi mungkin committee itu akan diketuai oleh SS, mungkin diketuai oleh exco daripada kedua-dua negeri, tapi formatnya belum fix.

“Tapi committee-committee itu pasti akan berjalan dan ia akan membincangkan secara terperinci, menghuraikan secara terperinci, setiap butiran-butiran perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat ini untuk penyelesaian tersebut,” katanya.

Tambah beliau lagi, jawatankuasa yang dibentuk tersebut juga akan diselaraskan di kedua-dua buah negeri sebelum dibentangkan pada mesyuarat kedua tidak lama lagi.

“Jawatankuasa tersebut akan meneliti beberapa perkara sebelum kita kemukakan kembali dalam mesyuarat kedua kita yang akan kita laksanakan dalam bulan 3 atau bulan 2 sebelum dari Ramadan untuk kita melihat progress perkembangan sebahagiannya melibatkan beberapa agreement seperti perbekalan air, sempadan, dan pembangunan lokaliti-lokaliti kawasan tinggi.

“Bagi kawasan tinggi seperti Genting Highlands kita nak seragamkan atau nak koordinasikan bukan hanya daripada segi pembangunan tetapi dari segi peraturan, undang-undang dan pemantauan kerana mengalami dan berdepan potensi, risiko yang hampir sama,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram