Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 26 JANUARI 2023 : Seramai 39 penerima menerima sumbangan berjumlah RM360,494 daripada Kerajaan Pahang yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut termasuklah bantuan bagi keperluan dan kegunaan pihak sekolah, bantuan kewangan kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), bantuan menjalankan aktiviti bagi persatuan-persatuan dan sebagainya.
Seorang penerima, YBhg Datin Sri Razana Fatin Abdullah yang merupakan Setiausaha Kehormat Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang berkata, menyifatkan Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan persatuan itu di dalam segala bentuk bantuan dan sumbangan selama ini.
“Berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, yang begitu prihatin, saya tahu memang Kerajaan Pahang sentiasa prihatin untuk rakyat bukan setakat sekolah, NGO malah persatuan-persatuan yang macam kami jika tanpa bantuan daripada Kerajaan Pahang sukar untuk kami bergerak, jadi syukur alhamdulillah dari dulu sampai sekarang Kerajaan Negeri sentiasa membantu dan prihatin kepada kami jadi memang tidak putuslah sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Encik Wan Muhammad Hafizzul Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan golongan pelajar di negeri ini dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan.
“Jadi kami daripada GPMS mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana sentiasa dan tidak pernah memandang mudah kepada kesusahan dan keperitan para pelajar di luar bandar khususnya kerana apa sahaja yang dimohon daripada Dato’ Sri Wan Rosdy tidak pernah lagi ditolak,” katanya.
Bagi pelajar tahun ketiga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pavitra Arujunan, 23, bantuan komputer riba yang diterimanya sangat bermakna meski pun sudah memasuki tahun ketiga pengajian kerana dapat menggantikan komputer lama yang sudah lama digunakan.
Beliau turut berkongsi kegembiraan dan berhasrat untuk memanfaatkan komputer riba tersebut untuk melakukan ulangkaji dan tugasan-tugasan selama tempoh pengajian.
“Memang gembira sangat sebab dapat (komputer riba) sekurang-kurangnya ia dapat membantu saya membuat revision (ulangkaji), membuat latihan dan memang ianya agak lambat (mohon bantuan) kerana saya kini berada di tahun ketiga tetapi saya berasa sangat bersyukur dan gembira untuk menerima sumbangan ini dan dapat menerimanya sendiri daripada YAB Menteri Besar Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA