Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 26 JANUARI 2023 : Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini terus meningkat kepada 286 mangsa sehingga jam 12 tengah hari ini berbanding 164 mangsa yang direkodkan tengah malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah terkini mangsa yang berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) itu melibatkan 84 buah keluarga dari daerah Rompin.
“Kesemua mangsa banjir ditempatkan di PPS Balai Raya Setajam, PPS Balai Raya Bukit Lepas, PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya dan Balairaya Rekoh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Empat kawasan di daerah Rompin iaitu di Mukim Endau, Mukim Pontian, Mukim Rompin dan Mukim Keratong tersenarai sebagai lokasi ‘hotspot’ berisiko banjir kilat.
Berdasarkan info ramalan hujan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), kawasan itu berisiko banjir kilat sekiranya hujan lebat dan ribut petir signifikan berlaku.
Sementara itu, menerusi laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya iaitu 24.88 meter.
Sebanyak tiga sungai merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera (30.69 meter), Sungai Pahang di Lubok Paku (17.01 meter) dan Lubuk Paku (17.08 meter). -PAHANGMEDIA