Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 21 JANUARI 2023 : Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi menaiktaraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jelai berkeluasan 200 hektar di sini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beberapa perkara diberi perhatian dalam taklimat oleh pihak Jabatan Pertanian serta dialog terbuka pengusaha yang dilakukan hari ini.
“Alhamdulillah saya lihat beberapa projek yang sedang berjalan, saya sendiri turun padang dan lihat ada beberapa projek yang boleh diselesaikan lebih cepat contohnya TKPM ini.
“Hari ini saya telah bagitahu pengarah-pengarah dari jabatan terlibat untuk ambil tindakan segera melalui peruntukan yang disediakan bagi meningkatkan infrastruktur asas seperti jalan raya, talian elektrik, air serta kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja bagi melihat sendiri perkembangan projek tanaman nangka madu di kawasan itu.
Beliau diiringi isteri, Datin Sri Dato’ Hajah Burhah Mohammed.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Encik Muhd Rizal Baharom; Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, Dato’ Ir Ts Hafizah Zakaria serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar segala isu dapat diselesaikan segera dan fungsi TKPM ini mampu memberi hasil yang baik kepada pengusaha dan Kerajaan Negeri sendiri.
“Saya berharap dengan adanya infrastruktur asas ini, ia memberi keselesaan kepada para pekerja sekaligus meningkatkan pengeluaran hasil tanaman di TKPM Jelai ini.
“Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau perkembangan semasa projek-projek penyediaan infrastruktur ini bagi memastikan ia berjalan lancar dan siap pada waktunya,” katanya. -PAHANGMEDIA