Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 21 JANUARI 2023 : Bantuan Wang Ihsan kepada Ketua Isi Rumah Mangsa Banjir oleh Kerajaan Negeri Pahang disifatkan satu langkah Kerajaan Negeri menunjukkan keprihatinan kepada rakyat.
Salah seorang penerima program agihan bantuan, Puan Norhidayu Ahmad, 40, dari Kampung Gali Tengah berkata bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka.

“Alhamdulillah untuk bantuan yang diberikan ini. Bantuan ini dapat menolong mengurangkan bebanan kewangan saya.
“Terima kasih kepada Kerajaan Pahang. Saya bercadang nak guna duit ini untuk baiki rumah yang rosak teruk (akibat banjir). Dinding-dinding rumah habis pecah.
“Duit sendiri dah buat (untuk baiki kerosakan) dalam RM10,000. Dengan duit bantuan ini, banyak lagi barang-barang rumah yang nak kena repair,” katanya.
Sementara itu, menurut Puan Jamilah Mat Dan, 80, dari Kampung Lechar mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri diatas bantuan yang diberikan ini.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih atas bantuan pada hari ini. Bantuan ini boleh buat kegunaan seharian.
“Banjir baru ini, air tinggi juga, dalam paras peha tapi tak seteruk banjir sebelum itu, yang itu barang banyak rosak. Yang tahun ini tak ada lah seteruk dulu,” katanya.
Manakala menurut Encik Kaharuddin Sabran, 61, dari Kampung Pamah Kulat berkata duit bantuan yang diterima ini akan digunakan bagi kegunaan hariannya.

“Duit bantuan dari Kerajaan Negeri Pahang ini saya bercadang nak guna untuk belanja hari-hari.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri untuk bantuan kepada rakyat di Pamah Kulat ini, terima kasih beribu-ribu terima kasih, alhamdulillah kami dapat bantuan daripada Kerajaaan Negeri Pahang,” katanya.
Seramai 140 penerima telah menerima Bantuan Wang Ihsan kepada Ketua Isi Rumah Mangsa Banjir oleh Kerajaan Negeri Pahang yang disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal di tiga lokasi di sekitar Dong.
Tiga lokasi berkenaan adalah di Pusat Kegiatan KEMAS Gali Tengah melibatkan 55 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada Mukim Gali 2; di Dewan Terbuka Dong melibatkan 61 KIR daripada Mukim Gali 1 dan Mukim Dong; serta Balairaya Kampung Pamah melibatkan 25 KIR daripada Mukim Ulu Dong. -PAHANGMEDIA