Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato' Sabariah Saidan (empat dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan Petronas kepada Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina hari ini.

300 KELUARGA KURANG BERNASIB BAIK DI PANTAI TIMUR TERIMA SUMBANGAN PETRONAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 JANUARI 2023 : Sebanyak 300 keluarga kurang bernasib baik di Pantai Timur menerima sumbangan sempena Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina oleh Petronas hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan telah menyampaikan sumbangan bagi penerima di Bentong.

Turut hadir, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Zulkhairi Zainol Abidin dan Ketua Operasi Petronas Pantai Timur, Encik Yusri Anuar Ahmad.

Sumbangan berupa bekalan makanan asas dan barangan dengan tema perayaan Tahun Baharu Cina itu disalurkan kepada 100 keluarga di Bentong, Kemaman, dan Kota Baharu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Antara bekalan makanan asas yang disampaikan oleh Petronas adalah beras, minyak masak, gula, garam, tepung, sardin, milo dan teh uncang serta kekacang serta barangan bertemakan perayaan seperti mee kering, minyak bijan, sos taucu dan cendawan kering.

Ketua Operasi Petronas Pantai Timur, Encik Yusri Anuar Ahmad

Menurut Encik Yusri Anuar, sumbangan ini merupakan salah satu komitmen berterusan oleh pihak Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.

“Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina menyasarkan kumpulan masyarakat B40 seperti mana Sentuhan Kasih Festive untuk perayaan utama yang lain.

“Hasrat kami adalah supaya program ini dapat membangkitkan keceriaan dan kegembiraan di kalangan golongan kurang berkemampuan sempena musim perayaan,” tambah beliau.

Sebanyak 2,150 keluarga kurang berkemampuan diraikan oleh Yayasan Petronas melalui Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina 2023 di 13 buah negeri dan dua wilayah persekutuan seluruh negara. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram