KUANTAN, 19 JANUARI 2023 : Sejumlah RM5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Pahang bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Kampung Pelindung Pantai di sini terutamanya ketika Monsun Timur Laut.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek ini akan dilaksanakan pada suku kedua tahun ini dan dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Kuantan dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang.
“Saya sendiri telah turun padang dan melihat sendiri lokasi punca berlakunya banjir di kampung ini selepas selesainya Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir daerah Kuantan petang tadi.
“Malah, saya telah mengarahkan agar projek ini dapat dilaksanakan seberapa segera.
“Diharapkan selepas selesainya projek ini nanti kejadian banjir di kampung ini dapat dielakkan demi keselamatan penduduk,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini. – PAHANGMEDIA