Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga Encik Ramle Mamat, 59, di Jalan Bukit Palas, Cherating di sini semalam.

PEMUDA OKU DERITA PENYAKIT ‘KAKI GAJAH’ TERIMA SUMBANGAN KERAJAAN PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 19 JANUARI 2023 : Nasib yang menimpa seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang menderita akibat penyakit ‘kaki gajah’ sejak berusia 12 tahun mendapat perhatian Kerajaan Pahang yang tampil menghulurkan sumbangan.

Mohammad Arif Hakimi Ramle, 21, tidak boleh bercakap sejak berusia sembilan tahun dan disebabkan penyakit ‘kaki gajah’ dialaminya mengakibatkan deria penglihatannya rosak.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata, Kerajaan Negeri sememangnya prihatin terhadap rakyat yang memerlukan di Pahang terutama membabitkan aspek kesihatan.

“Kerajaan Negeri memang tidak pernah putus membantu rakyat sebab setiap kali laporan daripada pemimpin setempat (diterima) memang kerajaan negeri akan segera sampailah (bantuan),” katanya selepas melakukan kunjung ziarah kepada keluarga Encik Ramle Mamat, 59, di Jalan Bukit Palas, Cherating di sini semalam.

Kunjung ziarah itu dilakukan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebajikan Masyarakat Pahang (MAKPEN) telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian.

Sementara itu, menurut Encik Ramle, beliau telah berhenti kerja pada tahun lalu kerana ingin menjaga keluarganya yang sedang sakit ketika ini.

Encik Ramle Mamat, 59.

Selain anak bongsunya, Mohammad Arif Hakimi, isterinya yang merupakan bekas kakitangan KEMAS, Puan Murni Md Daud, 58, turut menghidap Filariasis Limfatik yang menyebabkan dia tidak mampu berjalan dan hanya bergantung kepada kerusi roda sahaja.

Manakala anak kelimanya pula, Cik Nur Elya Sofia, 22, dilahirkan istimewa kerana bisu namun baru sahaja menamatkan pengajian di dalam bidang kulinari daripada Kolej Komuniti Selayang dan bakal menjalani latihan praktikal di Hotel Royal Chulan, tidak lama lagi.

“Saya ucap terima kasihlah kepada YAB Menteri Besar kita, saya dapat ‘one-off’ dengan anak yang cacat kaki tu, YAB pun tanya anak sakit apa, saya pun bagi tahulah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram