Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Berhad, Dato' Shahrul Nizam Abdul Aziz (tiga, kiri) berharap masyarakat di KotaSAS turut luang masa hadiri aktiviti sempena sambutan Chap Goh Mei, minggu hadapan.

PPSAS BANTU RANCAK EKONOMI DI KOTASAS

KUANTAN, 18 JANUARI 2023: Kewujudan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di KotaSAS bakal merancakkan lagi pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan tersebut serta sekitarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Berhad, Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz berkata, perpindahan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri ke KotaSAS menjadi pemangkin pembangunan di kawasan berkesan dengan lebih pesat.

“Saya dimaklumkan lebih seribu orang penjawat awam juga akan bertugas ke sini selain kehadiran orang awam dan pihak-pihak berkaitan yang mempunyai urusan di PPSAS akan merancakkan ekonomi di kawasan ini.

“Semua aspek pembangunan dijangka akan berkembang dengan lebih pesat seperti aspek komersial , perumahan dan sebagainya yang turut ditambah dengan stesen persinggahan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya dalam satu sidang media di sini.

Turut hadir Pengarah dan Pengarah Urusan Wawasan Intact, Dato’ Ng Choon Cheng dan Dato’ Ng Choon Koon.

Sementara itu beliau berkata, bagi meraikan masyarakat serta pembeli kediaman serta premis perniagaan di KotaSAS, satu acara sambutan sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Mei akan diadakan pada 4 dan 5 Februari ini bertempat di lokasi riadah KotaSAS, Tasek.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan seperti pertunjukkan tarian tradisional dan kebudayaan kaum Cina, 24 Festive Drums, LED Dragon Dance, Wushu dan pelbagai acara lagi yang akan berlangsung.

“Saya berharap agar semua lapisan masyarakat dari pelbagai bangsa dapat bersama-sama hadir untuk mengenali lebih dekat budaya kaum Cina yang bersama-sama kita hidup harmoni di negara ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram