Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 16 JANUARI 2023 : Bekas Ketua Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), Encik Zulkhairil Zainuddin dilantik sebagai Setiausaha Akhbar (SUA) kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Surat lantikan itu telah diserahkan sendiri oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy kepada Encik Zulhkhairil di pejabatnya, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Encik Zulkhairil yang berasal dari Kuala Lipis dilantik sebagai SUA bagi menggantikan YB. Fadzli Mohamad Kamal yang kini dilantik sebagai Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang dan juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, di Raub.
Sebelum itu jawatan sama pernah disandang oleh Allahyarham Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali selama hampir 27 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 11 Januari 2022 pada usia 61 tahun.
Encik Zulkhairil berkelulusan Bachelor Komunikasi (Kewartawanan) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memulakan kariernya sebagai wartawan di Majalah Perajurit (2003-2005) diikuti Majalah Tempur (2005-2007) sebelum dilantik sebagai wartawan kanan bersama Sinar Harian (2007-2008).
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang pada 2008 hingga 2011 dan kemudiannya menggalas jawatan Penolong Editor di Sinar Harian (2011-2013) sebelum menjadi Editor di akhbar yang sama pada 2013 hingga 2019.
Berbekalkan pengalaman selama 20 tahun di dalam bidang kewartawanan memberikan kelebihan kepada beliau untuk dilantik sebagai Ketua Unit, Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang pada 2019 hingga 2022.
Kini beliau berharap agar tugas baharu ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua rakan-rakan media serta pegawai perhubungan awam sama ada dari agensi kerajaan dan juga swasta. – PAHANGMEDIA