UMNO PERLU BERI PELUANG DAN RUANG KEPADA PUTERI

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 14 JANUARI 2023 : Pergerakan Puteri UMNO Pahang meminta agar pihak kepimpinan UMNO dapat memberikan ruang dan peluang kepada barisan Puteri supaya pendapat dan hasrat murni di kalangan ahlinya turut didengar.

Ketua Puteri UMNO Pahang, Puan Masliana Ahmad berkata, golongan muda terutamanya Puteri UMNO harus bangkit, istiqomah, bekerja keras dan ‘turun padang’ ke akar umbi bagi mendengar nadi rakyat dalam usaha memperbaharui UMNO itu sendiri.

Ketua Puteri UMNO Pahang, Puan Masliana Ahmad

“Saya nampak satu sahaja matlamat yang perlu kita ketengahkan daripada kekalahan yang kita hadapi, kita sendiri dari side (pihak) puteri kena muhasabah diri dan istiqomah dan terus bekerja serta kita turunlah ke padang, turunlah ke akar umbi dengar nadi rakyat supaya kita perbaharui UMNO itu sendiri.

“Saya mahukan pembaharuan yang sangat meluas dan dengarlah suara anak muda sendiri dan kita hendak juga kepimpinan di atasan dapat memberi ruang dan peluang yang lebih kepada pergerakan puteri sendiri dan janganlah kita pinggirkan pendapat dan hasrat murni yang ada dalam seseorang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Lipis, Puan Norlisa Khalimi berkata, kesemua sayap parti termasuklah Puteri, Pemuda dan Wanita UMNO perlu mengukuhkan perpaduan untuk berhadapan dengan situasi politik yang sangat berbeza pada hari ini di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Lipis, Puan Norlisa Khalimi

“Sekarang kita bersedia ke arah, bagaimana cara untuk kita menggerakkan organisasi kepimpinan UMNO daripada sayap Puteri, Pemuda dan Wanita seterusnya UMNO itu sendiri untuk ke depan sebab dalam situasi sekarang ia berbeza dengan dulu, kita dalam kerajaan perpaduan, jadi dia berbeza sikitlah kan.

“Saya juga mengharapkan kepimpinan Puteri yang berada sekarang tidak mensia-siakan bakatnya atau pun ‘stop’ (berhenti) dekat sini sahaja perjuangan sebab anggaplah ia sebagai ‘gateway’ (laluan) untuk teruskan perjuangan itu,” katanya.

Beliau turut menyeru agar golongan belia khususnya wanita muda bangkit dan bekerjasama demi bangsa, agama dan rakyat.

Kedua mereka ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang diadakan selama empat hari dan berakhir pada hari ini, di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Pada PAU 2022 kali ini, seramai 355 perwakilan dari Pahang terdiri daripada UMNO Bahagian seramai 195 orang, Wanita 70 orang manakala Pemuda dan Puteri masing-masing seramai 72 orang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram