UMNO HARUS BERTAHAN, TINGKAT PERPADUAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 14 JANUARI 2023 : UMNO perlu terus bertahan meski pun di dalam suasana landskap politik yang semakin mencabar dan berbeza ketika ini menerusi Kerajaan Perpaduan yang telah ditubuhkan.

Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato’ Sri Johari Harun berkata, perkara paling mustahak adalah UMNO perlu bertahan dan ahlinya perlu mengukuhkan perpaduan, mengelakkan perpecahan, mendukung demokrasi dan bekerja kuat untuk bergerak ke hadapan.

Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato’ Sri Johari Harun

“Sebab hari ini kita lihat dalam suasana landskap politik yang begitu berbeza sekali, jadi apa pun yang paling mustahak adalah UMNO itu sendiri kena bertahan dan sudah pastilah kita perlukan perpaduan, elakkan perpecahan, demokrasi kita dukung.

“Dan paling mustahak, banyak kerja yang kita nak buat walaupun dari segi PRU nya lama lagi lima tahun tetapi kita kena bergerak sekarang,” katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu bekerja kuat bukan sahaja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang tetapi juga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, YB. Dato’ Mohd Nizar Najib berkata, semangat yang dibawa bersama perjuangan bapanya, Bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak yang masih mempunyai penyokong dan kekuatan tersendiri hingga mampu meraih sokongan daripada masyarakat di dalam membantu meneruskan perjuangan parti UMNO.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Dato’ Mohd Nizar Najib

“Saya sebenarnya amat terharu dengan reaksi dan pandangan daripada perwakilan dan juga penyokong-penyokong parti UMNO di WTC sempena Perhimpunan Agung pada tahun ini rata-rata masih ramai yang mengingati dan menghargai sumbangan ayahanda Dato’ Sri Najib yang lebih dikenali sebagai ‘Bossku’ yang telah banyak membantu parti memperjuangkan dan mempertahankan parti UMNO walaupun tidak berada pada saf kepimpinan utama.

“Walau bagaimanapun semangat beliau masih kuat di sini, masih dapat diterjemahkan melalui sokongan dan juga pandangan serta semangat yang ditunjukkan oleh para perwakilan,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa hiba kerana buat pertama kalinya sejak tahun 1976, Dato’ Sri Mohd Najib tidak dapat hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 kali ini akibat penganiayaan politik terhadapnya.

Beliau turut teruja melihat semangat yang ditunjukkan oleh perwakilan untuk bangkit semula agar parti UMNO dapat menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang pada PRU16 nanti.

“Kita perlu atur gerak kerja, kita perlu rapatkan saf jangan ada lagi perpecahan dan pergaduhan yang melampau, perpecahan yang berlaku di kalangan penyokong dan apa yang kita buat mesti untuk kepentingan parti agar kita akan kembali kepada persada, menjadi peneraju utama,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram