Ketua Wanita UMNO Bahagian Temerloh, YB. Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz ketika berucap pada Persidangan Sayap Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

NYATAKAN KEBENARAN SECARA DALAMAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2023 : Barisan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO perlu telus dalam menyatakan kebenaran tanpa mendedahkannya kepada pihak luar.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Temerloh, YB. Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz berkata, mendedahkan segala permasalahan parti ibarat memberikan peluru dan senjata kepada pihak pembangkang yang bersedia untuk menyerang parti pada bila-bila masa sahaja.

Justeru katanya, usaha ke arah perubahan perlu dilaksanakan terhadap sistem pengurusan dalaman parti supaya sealiran daripada pelbagai peringkat bagi memberikan keyakinan kepada ahli parti dan rakyat bahawa UMNO sudah sedia untuk berubah.

“Kita mahu parti UMNO melaksanakan perubahan supaya rakyat jelas dan boleh nampak bahawa UMNO ini sudah mula mahu maju ke depan, mahu berubah daripada perkara dulu yang ada kekurangan untuk diperbaiki, yang penting adalah untuk kita muhasabah diri kenapa kita kalah, kenapa rakyat menolak kita, kenapa sebahagian ahli parti menolak kita terutamanya anak-anak muda, kena kajilah perkara-perkata seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Agung UMNO di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian Bentong, Puan Haslina Hashim.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian Bentong, Puan Haslina Hashim berkata, sikap menuding jari terhadap sayap lain di dalam parti yang sama perlu dielakkan sebaliknya berusaha memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan parti.

Menurutnya, setiap sayap parti memainkan peranan masing-masing termasuklah Pergerakan Wanita UMNO yang disifatkan sebagai ‘tulang belakang’ yang sentiasa memberikan sokongan kepada parti dan menyeru agar semua wanita khususnya Pergerakan Wanita UMNO Pahang terus bersemangat untuk berjuang bersama parti.

“Untuk wanita, kita teruskan berjuang walaupun kita bukanlah pejuang yang didendang tetapi kita adalah pejuang, kalau lah tangan kita bisa menghayunkan buai, kita juga bisa menghayunkan dunia,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram