Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 JANUARI 2023 : Pahang akan meneruskan Program Pahang Pride Kasih yang akan memberi manfaat kepada 30,600 penerima dengan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM20 juta bagi tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah bersetuju program ini diteruskan.
“Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat semalam (11 Januari 2023) telah bersetuju supaya program Pahang Pride Kasih diteruskan pada tahun ini seperti mana yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2023.

“Langkah ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan golongan yang layak di negeri ini mendapat rawatan kesihatan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang juga telah bersetuju memperluaskan lagi pemberian bantuan berupa kad kesihatan bernilai RM500 seorang kepada penerima daripada kategori lain.
“Malah, pada tahun ini, golongan penerima turut diperluaskan merangkumi golongan warga emas, pesara KEMAS, JASA dan SERANTA, bekas ketua kampung, ketua kampung serta golongan orang kurang upaya (OKU) penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Setiap penerima akan diberi kad kesihatan yang mempunyai nilai RM500 serta boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik-klinik swasta yang telah dilantik sebagai panel sepanjang tahun ini.
“Untuk menjayakan inisiatif ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM20 juta yang akan memberi manfaat kepada 30,600 orang penerima,” katanya.
Beliau dalam hantaran tersebut turut melahirkan harapan supaya para penerima program Pahang Pride Kasih ini dapat menggunakan pemberian ini sebaik mungkin.
“Saya berharap supaya para penerima dapat menggunakan kad kesihatan yang akan diberikan ini dengan sebaik mungkin,” katanya. -PAHANGMEDIA