Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 11 JANUARI 2023 : Seramai 802 ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ekoran bencana banjir yag melanda hujung tahun lalu bakal menerima sumbangan berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada hari ini.
“Bantuan ini merupakan peruntukan awal yang disalurkan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM1 juta kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.
“Bantuan ini akan diserahkan kepada semua penerima selewat-lewatnya pada 16 Februari depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebanyak tujuh buah daerah di negeri ini telah terlibat dengan kejadian banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang berlaku baru-baru iaitu daerah Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan.
Beliau dalam kenyataan turut berharap agar bantuan yang diterima dapat meringankan beban mereka selepas terpaksa mengharungi musibah banjir.
“Saya berharap mereka yang menerima Bantuan Wang Ihsan ini dapat menggunakan sumbangan ini untuk membeli barang keperluan dan perkakasan bagi mengurangkan beban yang ditanggung.
“Saya juga berdoa semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada segala musibah dan juga bencana,” katanya. -PAHANGMEDIA