Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Johari Harun menyampaikan sumbangan pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kepada 30 orang pelajar dari Kampung Peramu di Serambi Teruntum,Kuantan.

RUMAH AMAN PLUS AKAN DIBAIKI SELEPAS SELESAI PROJEK PEMBENTUNGAN MAC INI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 JANUARI 2022 : Kerja-kerja membaikpulih hampir 100 buah rumah di bawah projek perumahan Aman Plus yang mengalami kerosakan teruk akan bermula selepas projek pembentungan yang terlibat siap pada bulan Mac ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata, perjumpaan dan mesyuarat telah dilakukan dengan pihak pemaju, arkitek, jurutera dan juga pihak Jabatan Perkhidmatan Pembentungan yang dijemput sama.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun

“Saya sudah dapat maklumat terperinci, saya nyatakan bahawa kerosakan yang berlaku ada kaitan dengan projek pembentungan berhampiran. Hasil mesyuarat tadi, mereka berjanji akan siapkan kerja-kerja bahagian pembentungan, jadi selepas siap barulah pemaju boleh mulakan kerja-kerja pembaikan rumah.

“Sebelum ini saya dimaklumkan dalam 30 buah rumah mengalami kerosakan, tapi selepas dapat maklumat baru hampir seratus buah rumah pula yang rosak. Sepuluh buah rumah yang didapat rosak lebih teruk akan dirobohkan dan dibina baru,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas penyerahan sumbangan sempena Program Kembali Ke Sekolah anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kepada 30 orang pelajar dari Kampung Peramu di Serambi Teruntum, di sini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Hamdan Hussin, Setiausaha MBK, Encik Yusoff Bin Husain, Naib Yang Dipertua KESUMBA 2, Dato’ Rose Samsul Abdul Razak serta Pengerusi Kospek, Encik Suris Mihat.

Sementara itu mengulas lanjut berkenaan isu kerosakan rumah Aman Plus, Dato’ Sri Johari berkata, kerja-kerja berkaitan baikpulih dan bina semula perlu dilakukan segera.

“Segala kos berkaitan akan ditanggung oleh pemaju, sama ada dia nak saman menyaman (dengan projek pembentungan) kita tak nak ambil tahu. Kita nak mereka pemaju siapkan tak boleh tunggu apa-apa, kena jalan dengan kos sendiri, sebarang perbincangan dengan pihak berkaitan itu urusan mereka.

“Kerajaan Negeri memandang serius isu ini di mana kita akan cuba dapatkan moratorium dari bank, memang akan ada kesan dari tempoh bayaran (bertambah) tapi ini adalah usaha kita untuk kurangkan beban.

“Kita minta MBK dapatkan data pembeli, contohnya mereka dah bayar loan rumah tapi sekarang menyewa, jadi itu adalah beban. Kita nak bantu mereka kurangkan beban dalam menghadapi masalah ini,” katanya.

Sebanyak 384 rumah telah siap dibina bagi fasa kedua perumahan terbabit namun kira-kira 30 rumah mengalami kerosakan teruk dipercayai akibat perlaksanaan projek pembentungan di kawasan berhampiran.

Lebih malang jumlah rumah yang rosak meningkat hampir 100 buah rumah dan masalah berkenaan terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri yang akan memantau proses berkaitan dan melakukan mesyuarat sekali lagi pada minggu hadapan bagi mendapatkan maklumat dan melihat kerja-kerja penyelesaian berjalan segera. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram