Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 08 JANUARI 2023: UMNO buat masa ini memberi fokus kepada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang akan berlangsung pada 11 hingga 14 Januari depan bagi menyelesaikan hal-hal dalaman parti berkenaan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata selain itu, UMNO juga memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri tidak lama lagi.
“Di sini ingin saya nyatakan bahawa selepas Perhimpunan Agung UMNO ini, kita perlu menumpukan, membantu enam negeri yang akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Jadi dua perkara penting, satu bersiap untuk Perhimpuan Agung UMNO pada minggu depan, dan tentunya kita selepas itu nak bersiap tentang Pilihan Raya Negeri.
“Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah hanya antara parti-parti Barisan Nasional. Kami ingin menyelesaikan beberapa perkara yang berhubung kait dengan urusan dalaman UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Taklimat Isu-isu Semasa Peringkat Negeri Pahang oleh Setiausaha Agung UMNO di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan hari ini.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang,YB. Dato’ Sri Hasan Arifin.
Mengulas mengenai cadangan kerjasama di antara UMNO dan parti di dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN, beliau berkata ia masih belum diputuskan lagi.
“Kita telah bekerjasama dalam membentuk kerajaan, kerjasama dalam bentuk parti ini kita akan putuskan.
“Bagi menghadapi PRN belum diputuskan bagaimana rupa bentuknya. Belum dibincangkan. Kita belum ada mesyuarat mengenai itu,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Langkah London, beliau berkata itu merupakan satu spekulasi sahaja dan kebetulan.
“Saya tidak tahu setakat mana benar atau tidaknya Langkah London sebab ramai orang bercuti di London, dan kalau mereka duduk berjumpa, bersama, tak semesti perkara itu melibatkan langkah-langkah tertentu.
“Jadi saya kira itu spekulasi, Langkah London ini spekulasi. Saya tidak ada rekod bahawa ada pihak-pihak tertentu yang betul-betul mengadakan mesyuarat.
“Dan kalau mereka nak bermesyuarat, mereka boleh bermesyuarat di mana-mana. Kenapa nak jauh sangat. Kebetulan bercuti saya rasa. Itu sahaja. Tak kan tak boleh jumpa-jumpa kawan,” katanya.
Seramai 1,309 pimpinan UMNO daripada setiap bahagian di negeri ini telah menghadiri Majlis Taklimat Isu-isu Semasa yang diadakan hari ini. -PAHANGMEDIA