Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli meninjau tapak cadangan pembinaan struktur di kawasan Kea Farm sepanjang 0.3 kilometer.

KERJA-KERJA ATASI KESESAKAN CAMERON HIGHLANDS PERLU DIBERI KEUTAMAAN – KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

CAMERON HIGHLANDS, 07 JANUARI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya kerja-kerja bagi mengatasi kesesakan jalan di Cameron Highlands perlu diberi keutamaan.

Seri Paduka Baginda bertitah, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu diberi keutamaan bagi menyelesaikan projek ini memandangkan berlaku kesesakan yang amat ketara di kawasan ini.

“Ini satu yang saya minta supaya JKR diberi keutamaan (bagi selesaikan projek yang dicadangkan ini). Bahagian lain biar saya buat kerja.

“Tapi JKR saya beri keutamaan memandangkan kesesakan di sini begitu ketara sekali. Orang dari Johor datang, orang dari Penang, Perlis, semua datang ke sini (bercuti). Yang datang dah lapan jam dari Johor, jem dekat sini dah empat jam dah, habis dah satu hari kita,” titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika berkenan mendengar taklimat mengenai Inisiatif Penyuraian Trafik di Cameron Highlands.

Titah baginda lagi, kesesakan ini juga dikhuatiri melibatkan perkara kecemasan yang memerlukan perhatian segera oleh orang ramai yang menggunakan jalan ini.

“Yang dibimbangkan bila ada kecemasan ke, orang dalam kereta sakit nak melahirkan dalam jem, tak ke kesian. Ambillah faktor-faktor itu sebagai pertimbangan dan saya harap pihak MOF (Kementerian Kewangan) dapat memberi pertimbangan yang terbaik,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan mencemar duli meninjau tapak cadangan pembinaan struktur di kawasan Kea Farm sepanjang 0.3 kilometer.

Pembinaan berkenaan merupakan sebahagian daripada lokasi projek Pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands yang dijangka mengambil masa 42 bulan bermula Mac ini dan selesai pada September 2026 melibatkan 41 kilometer.

Baginda sebelum itu telah berkenan bercemar duli berangkat ke Kampung Orang Asli Kuala Boh dan menyampaikan kurniaan kepada 127 keluarga di kampung berkenaan.

Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram