1.988 JUTA TELUR NYAMUK BERWOLBACHIA DILEPAS DI DUA LOKALITI DI KUANTAN

Oleh : Mahathir Ali

KUANTAN, 7 JANUARI 2023 : Sebanyak 1.988 Juta telur nyamuk Aedes berWolbachia ditetas di Taman Impian dan Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di sini, sejak Oktober tahun lalu sehingga Mei depan.

Penetasan telur nyamuk berkenaan adalah sebahagian daripada Projek Pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di tujuh negeri termasuk negeri ini bermula tahun 2019.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek berkenaan bagi mencegah dan mengawal jangkitan kes demam denggi di lokaliti pelepasan.

“Pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia ini bertujuan menggantikan populasi nyamuk Aedes sedia ada sekali gus akan menyebabkan nyamuk tersebut hilang keupayaan menyebarkan virus denggi seterusnya mengurangkan beban morbiditi dan kematian demam denggi dalam masyarakat.

“Projek pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia ini terbukti berjaya menunjukkan penurunan kes demam denggi antara 40 hingga 80 peratus berdasarkan kajian rintis di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media selepas Lawatan Projek Pelepasan Nyamuk Aedes berWolbachia di Taman Impian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr Nor Azimi Yunus.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fahkruddin Mohd Ariff bergambar bersama kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) yang terlibat dalam program melepaskan nyamuk Aedes berWolbachia di Taman Impian, di sini.

Mohammad Fakhruddin berkata, pelepasan Aedes berWolbachia pertama di negeri Pahang bermula pada 6 Oktober tahun lalu dan sebanyak 14 siri pelepasan telur akan dilakukan di setiap lokaliti sepanjang tempoh dua tahun lima bulan yang mana dijangka selesai pada Mac 2025.

“Jumlah telur Aedes berWolbachia bagi pelepasan nyamuk di dua lokaliti ini ialah sebanyak 142,000 biji telur, iaitu 58,800 biji di Taman Impian dan 83,200 biji di PPRS Pinggiran Putra untuk setiap 2 minggu.

“Setakat semalam, kadar penetasan nyamuk Aedes berWolbachia di kedua lokaliti ini adalah sangat baik iaitu melebihi 90 peratus dan tiada kes demam denggi dilaporkan di kedua lokaliti.,” katanya.

Sementara itu, mengenai kes demam denggi di negeri ini, Dr Nor Azimi berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 976 kes demam denggi dilaporkan berbanding 428 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 548 kes. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram