Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
CAMERON HIGHLANDS, 06 JANUARI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya kelulusan penerokaan tanah terutamanya di tebing tinggi di Cameron Highlands dikaji semula.
Baginda bertitah sekiranya perlu, kelulusan yang telah dikeluarkan bagi tujuan ini juga perlu ditangguhkan bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang bencana.
“Buat sementara saya harap kaji semula (kelulusan), kalau perlu ditangguhkan semua kelulusan untuk kawasan daerah Cameron Highlands buat sementara ini, di tempat tanah tinggi.
“Limit lah. Ini saranan saya, dan ini titah saya. Enough is enough. Kita tak mau lagi berlakunya (banjir lumpur). Saya berharap Kerajaan Negeri mehuat review dan berhati-hati dalam memberi kelulusan,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga turut bertitah supaya semua projek yang dijakankan di kawasan tanah tinggi ini diberi perhatian serius memandangkan terdapat banyak projek berasaskan pertanian berleluasa.
“Daripada dulu sampai sekarang, saya masih lagi lihat projek-projek seumpama ini khususnya yang berasaskan pertanian telah pun berleluasa di Cameron Highlands ini.
“Pagi tadi saya terbang dari Kuala Lumpur melalui Kampung Bertam, Kampung Ringlet, Kampung Terla, Kampung Tringkap, dan Kampung Raja, nampaknya projek-projek berasaskan pertanian semakin diperluaskan lagi.
“Saya tak tahu kalau tanah-tanah ini diterokai secara sah ataupun tidak sah, ini sedang saya kaji dan mendapatkan laporan yang sebenarnya,” titah baginda.
Baginda turut berharap kejadian tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali baru-baru ini tidak berulang di mana-mana kawasan
Baginda bertitah demikian selepas mendengar sembah taklimat berkenaan Laporan Solusi Banjir Lumpur oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands di Kampung Baru, Kampung Raja, di sini.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan.
Baginda turut berkenan menyampaikan kurnia kepada 128 mangsa yang terlibat dengan kejadian banjir lumpur di Kampung Raja. – PAHANGMEDIA