Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 6 JANUARI 2023 : Masalah kerosakan jalan Kuantan-Segamat dekat Simpang Perlak di Pekan ekoran kerosakan paip bawah tanah berjaya diselesaikan oleh pihak berwajib.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, setelah siasatan dilakukan oleh JKR mendapati lubang di atas jalan berkenaan berlaku ekoran kerosakan paip bawah tanah di laluan terbabit.
“Alhamdulillah, semua kerja-kerja berjaya dilakukan dengan baik. Tiada siapa yang menyangka terjadi kerosakan paip bawah tanah di jalan ini semalam sehingga mengakibatkan terjadinya lubang kerana semua kerja tampalan Coldmix telah pun dilakukan sebelum ini.
“Saya meminta pihak berwajib sentiasa melakukan pemantauan yang lebih kerap terutama di jalan yang sedang dalam kerja-kerja baik pulih.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), konsesi jalan, kontraktor, Perbadanan Air Pahang (PAIP), Roadcare dan semua pihak yang telah berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi masalah ini,” katanya.
Beliau berkata, tindakan segera terhadap pembaikan Jalan Kuantan – Segamat itu diambil selepas insiden seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan selepas kemalangan di laluan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, ketika kemalangan berlaku, laluan Jalan Kuantan-Segamat sedang dinaiktaraf dan kerja-kerja menampal pothole laluan itu juga telah dilakukan manakala papan tanda juga telah diletakkan di kawasan tersebut.
Tegasnya, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kualiti jalan raya di seluruh Pahang demi keselamatan rakyat dan kemajuan negeri. – PAHANGMEDIA