Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 JANUARI 2023 : Kerajaan Pahang sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk institusi kewangan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, Kerajaan Pahang telah menjalinkan kerjasama dengan Bank Muamalat untuk memperkasakan usahawan kecil melalui program iTEKAD, iaitu Skim I-PUSH atau Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang 2022.
“Skim I-PUSH 2022 ini merupakan usaha kerajaan negeri dalam membantu menyokong golongan peniaga kecil dari segi agihan dana modal kerja.

“Malah, skim ini turut menyuntik semangat baru kepada hampir 2,500 usahawan kumpulan sasar di negeri Pahang yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir.
“Bagi mengurangkan beban pemohon, pembayaran balik pembiayaan tanpa faedah turut diperkenalkan dalam skim I-PUSH selama 5 tahun tempoh pembiayaan termasuk tahun pertama moratorium yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Cawangan Bank Muamalat Ke-68 di Malaysia bagi Cawangan Indera Mahkota di sini hari ini.
Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, YAA Ketua Hakim Syarie Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Mat Yunos, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), YH Dato’ Razihan Adzharuddin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, YBhg Encik Khairul Kamarudin.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri yakin bahawa pembukaan cawangan Bank Muamalat di Indera Mahkota dapat mengembangkan sektor perbankan Islam di negeri ini.
Di Pahang, sebanyak empat cawangan sedia ada Bank Muamalat telah beroperasi iaitu di Daerah Temerloh (2), Pekan dan Kuantan.
Manakala pemilihan Indera Mahkota sebagai lokasi cawangan baharu merupakan langkah yang amat strategik dengan kepadatan penduduk melebihi 240,000 orang yang dapat memberi akses kepada perkhidmatan kewangan selain dapat memberi pilihan alternatif kepada pelanggan terhadap perkhidmatan perbankan yang diingini. – PAHANGMEDIA