Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 5 JANUARI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Pusat Khidmat Dewan Negeri (DN) Dong memberikan sumbangan bernilai RM140,000 kepada 20 Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JPKKK) di DN Dong.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata sumbangan ini merupakan barangan yang diperlukan oleh penduduk di kawasan terlibat.

“Hari ini kita berikan sumbangan dua buah kanopi berkeluasan 20 kaki dan sebiji pembesar suara bergerak (portable speaker) kepada setiap Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JPKKK) di dalam kawasan Dong, lebih kurang 20 JPKKK yang menerima manfaat pada hari ini.
“Sebelum ini banyak permintaan daripada kampung-kampung ini untuk memperolehi barangan ini untuk kenduri misalnya atau majlis tertentu di kampung-kampung.
“Kos bagi kanopi dan speaker ke sebuah kampung kira-kira RM7,000 dan RM140,000 bagi keseluruhan kampung di sini,” katanya.
Beliau berkata pemberian ini telah dirancang oleh Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong sebelum ini namun baru berkesempatan diberikan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata dalam lawatan kerja pertama beliau sebagai ADN Dong, pelbagai permasalah berkaitan infrastruktur di tujuh buah kampung telah diambil perhatian.

“Sejak pukul 8 pagi tadi, saya bersama dengan JKR Raub, JPS Raub, dan juga Pejabat Daerah dan Tanah Raub khusus untuk KPLB melawat tujuh kampung di kawasan Dong ini untuk melihat aduan daripada penduduk kampung yang mana ada infrastruktur rosak, ada jambatan runtuh, jalan rosak.
“Ini amat penting bagi keperluan dan mendengar keluhan daripada rakyat. Dan ada infrastruktur yang kita lihat hari ini yang boleh terus dibaikpulih.
“Tapi untuk jangka masa panjang ada yang perlu kita dapatkan peruntukan daripada pihak berkenaan sama ada daripada Kerajaan Negeri atau pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta agensi terlibat,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga akan sentiasa membuat susulan berkenaan permasalahan ini bagi memastikan ia dapat diselesaikan walaupun mengambil masa.
Beliau sebelum itu telah melawat Kampung Sungai Sol; Kampung Bedu, Kampung Kuala Keloi; Kampung Tanjung Putus; Kampung Lechar; Kampung Temau Tengah; dan Kampung Sungai Pasu. -PAHANGMEDIA