Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

3,759 PESERTA IKUTI TAFAQUH FIDDIN SELURUH PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 5 JANUARI 2023 : Seramai 3,759 peserta telah berjaya mengikuti Program Tafaquh Fiddin (TFD) sejak 2015 hingga 2022 yang dilaksanakan secara percuma oleh Kerajaan Pahang menerusi penyelarasan oleh Yayasan Pahang (YP).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, program yang bertujuan menyediakan kemudahan bagi mempelajari ilmu pengajian Islam secara sistematik dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat ini telah melibatkan sebanyak 23 masjid seluruh Pahang dengan permulaannya hanya membabitkan empat masjid sahaja di Daerah Kuantan, Pekan dan Bentong pada 2015.

Menurutnya, YP telah mengembangkan program TFD ke Kuala Lumpur dan Putrajaya menerusi jalinan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sebelum memperluaskan program sama ke peringkat antarabangsa di Mesir pada 2019.

“Menerusi Kelas Pengajian Tafaqquh Fiddin (TFD) ini, YP telah mencatatkan sejarah dengan mengembangkan sayapnya buat pertama kali ke peringkat antarabangsa dengan memperkenalkan TFD Mesir pada awal tahun 2019.

“TFD Mesir memberi manfaat kepada lebih 250 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak Pahang di Kaherah dan Mesir dengan memberi keutamaan kepada subjek-subjek teras yang merupakan silibus tetap para pelajar di Universiti Al-Azhar,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Pahang sememangnya bersungguh-sungguh menjalankan pelbagai program keagamaan dengan menggerakkan lebih 700 program takmir dan briged dakwah melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam, Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Mufti Pahang.

Baru-baru ini telah berlangsung Majlis Konvokesyen Program Persijilan Pengajian Islam Tafaqquh Fiddin (TFD) Negeri Pahang di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan dengan seramai 120 peserta telah menerima sijil penyertaan mereka bagi program tahap 3 tahun 2021.

Sijil telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Abd Razak Abu Musa Saari dan turut dihadiri Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, YH Dato’ Haji Badli Shah Haji Alauddin bersama barisan tenaga pengajar Program TFD. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram