Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat bercemar duli menziarahi pusara Allahyarham Orang Kaya Indera Perba Jelai Negeri Pahang, Dato’ Haji Wan Abdul Rahman Dato’ Haji Wan Ibrahim di Tanah Perkuburan Islam Perumahan Banjir Bukit Betong di Lipis.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN ZIARAH PUSARA ALLAHYARHAM ORANG KAYA INDERA PERBA JELAI

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 30 DISEMBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat bercemar duli menziarahi pusara Allahyarham Orang Kaya Indera Perba Jelai Negeri Pahang, Dato’ Haji Wan Abdul Rahman Dato’ Haji Wan Ibrahim di Tanah Perkuburan Islam Perumahan Banjir Bukit Betong di Lipis, hari ini.

Baginda sebelum itu sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Mahmud bersama-sama dengan penduduk setempat sebelum bersantap di Hotel Lipis Plaza di Lipis.

Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan serta tetamu kehormat.

Allahyarham Orang Kaya Indera Perba Jelai yang merupakan salah seorang daripada Orang Besar Berempat atau pembesar di dalam Kerajaan Pahang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 November lalu.

Allahyarham dilahirkan daripada sebuah keluarga bangsawan berketurunan Raja Pagar Ruyung yang memegang teraju Orang Besar Berempat Pahang turun temurun sejak abad ke-16 di kawasan Ulu Pahang terutama di Bukit Betong, Lipis.

Orang Besar Berempat atau pembesar berperanan sebagai pendokong utama kepada Institusi Raja Melayu Pahang dan bertanggungjawab terhadap kelangsungan Institusi Raja Pahang dengan diberikan kawasan untuk mentadbir kepada setiap pembesar.

Pembesar-pembesar ini terdiri daripada Orang Kaya Indera Pahlawan (OKIP) yang mentadbir Kuala Luit hingga ke Bera, Orang Kaya Indera Perba Jelai (OKIPJ) atau dahulunya dipanggil Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai mentadbir Ulu Jelai, Orang Kaya Indera Segara (OKIS) mentadbir di Temerloh manakala Orang Kaya Indera Shah Bandar (OKISB) mentadbir di kawasan Bebar hingga Luit. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram