Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 30 DISEMBER 2022 : Yayasan Pahang mengungguli Anugerah Pahang 1st apabila berjaya membawa pulang RM50,000 selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah YAB Menteri Besar Pahang pada majlis yang berlangsung meriah di Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), semalam.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, majlis penganugerahan seumpama ini diadakan sebagai menghargai usaha semua pihak khususnya agensi kerajaan dan anak-anak syarikat Kerajaan Pahang yang telah bertungkus-lumus bersama-sama pihak kepimpinan negeri dalam memperoleh hasil kutipan negeri yang memberangsangkan.
“Jadi sewajarnya agensi-agensi atau pun jabatan-jabatan berkenaan harus kita beri penghargaan kerana merekalah yang sebenarnya berupaya yang bekerja kuat sehingga kita boleh mendapat kutipan hasil melebihi RM1 bilion dan InsyaaAllah Anugerah Pahang 1st ini kita akan teruskan untuk tahun akan datang.

“Ini adalah bertujuan memberi semangat kepada pegawai dan kakitangan agensi-agensi kerajaan kerana kita dapat lihat bagaimana mereka berusaha mengurangkan ketirisan dan kebocoran, bagaimana mereka boleh meningkatkan hasil dan kutipan tunggakan, dan bagaimana mereka boleh membuat kutipan yang kita tidak pernah fikirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Pahang 1st yang berlangsung meriah di Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), semalam.
Hadir sama ialah YB. Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Pada anugerah itu, sebanyak 22 kategori dipertandingkan dengan menawarkan hadiah berjumlah RM612,300 antaranya adalah Anugerah Kutipan Tunggakan Hasil Tertinggi, Anugerah Kutipan Hasil Tanah Paling Efisien, Anugerah Kutipan Fi Kelestarian Tertinggi, Anugerah Pencapaian Cemerlang Kutipan Hasil, Anugerah Pentadbiran Cemerlang, Anugerah Pencapaian Cemerlang System Star Rating (SSR) dan Anugerah Kualiti dan Produktiviti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, anugerah yang dinobatkan merupakan suntikan semangat kepada Yayasan Pahang untuk terus memberikan komitmen terbaik dalam usaha memartabatkan masyarakat melalui pendidikan di Negeri Pahang.
“Kami di Yayasan Pahang berasa sungguh berbesar hati dan banyak bersyukur dan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebagai pengerusi Yayasan Pahang yang telah banyak membantu dan memberikan bimbingan dan sokongan padu kepada kami dan saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua warga kerja Yayasan Pahang kerana kejayaan ini adalah hasil daripada usaha semua warga Yayasan Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA