YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang

42 ORANG AHLI DEWAN NEGERI PAHANG ANGKAT SUMPAH

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 29 DISEMBER 2022 : Seramai 42 orang Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Acara angkat sumpah berkenaan dimulai oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebelum diikuti sepuluh orang Exco dan kesemua ADN yang memenangi PRU15 lalu.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam ucapan penangguhan menyembah menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas limpah perkenan merestui pembentukan Kerajaan Negeri Pahang yang dibentuk menerusi gabungan parti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Sesungguhnya, keprihatinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam menyaksikan serta menguruskan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk memastikan sebuah Kerajaan Negeri yang stabil dan kukuh dapat dibentuk demi manfaat rakyat dan negeri ini secara keseluruhannya.

“InsyaAllah, patik sekalian akan menggalas amanah, tanggungjawab serta kepercayaan besar ini dengan sepenuh jiwa raga dan hati nurani demi kepentingan rakyat dan Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua ADN di negeri ini agar sentiasa berhemah ketika mengemukakan hujah, saling hormat-menghormati, serta tidak bertindak keterlaluan sehingga mengguris perasaan mana-mana pihak.

“Sekarang adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat serta menunaikan janji serta komitmen yang telah kita zahirkan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke15 yang lalu.

“Negeri ini perlu dibangunkan atas asas kestabilan politik yang kukuh agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan tersusun dan sektor ekonomi negeri dapat dipacu ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut berharap agar pihak pembangkang dapat menjalankan fungsi semak dan imbang dengan sebaiknya demi memastikan negeri Pahang terus kekal maju dan berdaya saing. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram