Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika Majlis Perjumpaan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang bersama Pihak Konsesi Penyelenggaraan Jalan Negeri di Negeri Pahang Darul Makmur di Bilik Mesyuarat Anggerik Kompleks Tun Razak (KOMTUR) di Kuantan

KERAJAAN PAHANG KOMITED BERTINDAK TERHADAP ADUAN JKR DALAM TEMPOH 24 JAM

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali

KUANTAN, 28 DISEMBER 2022 : Kerajaan Pahang komited untuk bertindak terhadap makluman atau aduan daripada orang ramai terhadap jalan rosak di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 jam bergantung kepada tahap kerosakan jalan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, tindakan ini diambil susulan pelbagai aduan diterima berhubung permasalahan jalan rosak di seluruh negeri dan Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan setiap aduan dengan kadar segera sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam.

JKR melaksanakan kerja-kerja menampal jalan di sekitar Kuantan baru-baru ini.

Jelasnya, Kerajaan Pahang menerusi kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail begitu serius dalam menangani isu berkaitan rakyat di seluruh Pahang dan telah mengeluarkan arahan kepada pihak JKR supaya memandang serius terhadap segala aduan.

“Kerajaan sangat komited untuk memastikan keselamatan jalanraya kerana ianya merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita terhadap pengguna jalan raya khususnya rakyat di Pahang.

“Kerosakan jalan terutamanya lubang di atas jalan raya perlu segera diperbaiki dan tidak boleh ditangguh terutama apabila hujan lebat dan waktu malam yang dapat mengundang bahaya kepada pengguna terutama penunggang motosikal.

“Jadi saya berharap agar kita ada sedikit pertimbangan daripada pihak konsesi-konsesi supaya dapat mengambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang bersama Pihak Konsesi Penyelenggaraan Jalan Negeri di Negeri Pahang Darul Makmur di Bilik Mesyuarat Anggerik Kompleks Tun Razak (KOMTUR) di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Kerajaan Negeri turut menjalin kerjasama bersama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau pergerakan lori lebih had muatan yang turut merisikokan kerosakan jalan raya di negeri ini.

Pada perjumpaan itu juga, beliau berharap semua konsesi dapat memberikan kerjasama terhadap Kerajaan Pahang bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para pengguna di jalan raya demi memastikan kurang risiko kemalangan akibat jalan rosak. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Share this: