Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 20 DISEMBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berharap mangsa banjir di semua negeri terlibat terus bersabar dengan dugaan yang sedang dihadapi.
Seri Paduka Baginda bertitah agar semua rakyat terutamanya di kawasan berisiko agar terus berwaspada dengan keadaan semasa kini dan mengambil berat terhadap keselamatan diri dan keluarga.

“Saya ingin menasihatkan rakyat terutamanya di negeri-negeri yang dilanda banjir seperti di Pahang, Terengganu dan Kelantan buat ketika ini sentiasa berwaspada dengan keadaan di musim tengkujuh ini.
“Ibu bapa atau penjaga, jagalah anak-anak, cucu masing-masing agar tidak berlaku kehilangan (kematian) akibat tragedi pada musim ini.
“Dengarlah arahan-arahan daripada pihak berkuasa supaya berpindah atau tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan-kawasan tertentu,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui media ketika bercemar duli menziarahi dan menyampaikan kurniaan kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Beserah, hari ini.
Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu baginda bertitah agar semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dapat dijaga dengan baik dan sentiasa mengutamakan aspek kebersihan.
“Saya berharap agar PPS-PPS ini berada dalam keadaan bersih..bersama-samalah jaga kebersihan PPS termasuk ketika gunakan tandas,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bersama Pemangku Raja Pahang berkenan menziarahi dan menyampaikan kurniaan kepada mangsa banjir di dua buah PPS lain iaitu di SK Pelindung dan SMK Pelindung.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak,
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan serta Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah. – PAHANGMEDIA