Jalan Kuantan-Sungai Lembing yang dinaiki air

MANGSA BANJIR DIPINDAHKAN KEKAL 934 PAGI INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 DISEMBER 2022 : Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini kekal sebanyak 934 mangsa setakat laporan 8 pagi hari ini.

Menurut laporan daripada Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pahang, kesemua mangsa daripada Kuantan dan Raub ini ditempatkan di 11 PPS.

“Di Kuantan seramai 867 mangsa daripada 212 keluarga dipindahkan ke lapan PPS. Seramai 226 mangsa ditempatkan di PPS SK Beserah; PPS SMK Pelindung (190); PPS SK Cherating (161); PPS SK Sungai Karang (125); PPS SK Pelindung (66); PPS Surau Kampung Chendor (48); SK Sungai Ular (41); dan PPS Balairaya Bukit Kuin 1 (10).

“Manakala di Raub, tiga PPS dibuka bagi menempatkan 67 mangsa daripada 23 keluarga. PPS yang dibuka adalah di PPS Dewan Kampung Ria (40); PPS Balairaya Kampung Chenua (15); dan PPS Balairaya Kampung Ria (12).

“Jumlah mangsa ditempatkan di PPS dan bilangan PPS yang dibuka juga masih kekal sama dengan laporan yang dikeluarkan setakat 4 pagi tadi,” menurut laporan berkenaan.

Dalam laporan berkenaan juga menunjukkan enam buah sungai utama menunjukkan trend peningkatan paras air sungai dengan hanya Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin berada pada paras bahaya.

“Enam sungai berkenaan ialah Sungai Pahang di Yap, Jerantut; Sungai Pahang di Kuala Krau dan Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh; Sungai Triang, Bera; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan. Namun demikian kesemua enam sungai ini masih berada pada paras waspada.

“Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin yang berada pada paras bahaya pula menunjukkan penurunan paras air; brgitu juga dua sungai yang berada pada paras amaran iaitu Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran,” menurut laporan berkenaan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram