Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali
KUANTAN, 19 DISEMBER 2022 : Pihak pemaju Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) diminta lebih giat melaksanakan kerja-kerja pembinaan bagi memastikan ia siap mengikut jadual ditetapkan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek berkenaan menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
“Setakat ini saya dimaklumkan bahawa kerja-kerja telah siap 90 peratus dan saya mewakili pihak Kerajaan Negeri amat berharap agar projek ini dapat dilaksanakan dengan lebih giat selain berharap pihak JKR juga memainkan peranan dalam memastikan projek ini siap mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kita berharap dapat gunakan bangunan ini tidak lama lagi dan berpindah secara berperingkat bermula bulan Mei tahun depan.
Keutamaan perlu siapkan Blok A yang menempatkan Pejabat Menteri Besar Pahang, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Exco-exco serta bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) supaya kita dapat tumpukan kepada urusan Kerajaan Negeri selepas ini dan melihat dari dekat projek-projek yang berlangsung di sekitar PPSAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang selepas meninjau kerja-kerja semasa pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH Dato’ Zakaria Ibrahim dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin.
Hadir sama, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal serta Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, Dato’ Ir Ts Hafizah Zakaria.
PPSAS yang bernilai RM415.5 juta ini merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri yang baharu menggantikan Wisma Sri Pahang yang telah berusia 55 tahun (sejak tahun 1967).
Kompleks ini bakal menjadi ikon terbaharu di Pahang dengan rekabentuk bangunan kompleksnya yang diinspirasikan daripada jata Negeri Pahang dengan mengaplikasikan teknologi hijau. – PAHANGMEDIA