Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib

HASRAT JADIKAN PAHANG GERGASI EKONOMI DAPAT DILAKSANAKAN – YB. DATO’ NIZAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 14 DISEMBER 2022 : Hasrat ingin menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri gergasi ekonomi dapat dilaksanakan dengan amanah yang diberikan melalui portfolio Exco yang diumumkan hari ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, portfolio yang diamanahkan adalah besar dan berat namun ia akan dijalankan sebaiknya bagi membantu pentadbiran Kerajaan Pahang.

“Pengumuman ini adalah kepercayaan bagi saya memikul portfolio yang begitu besar dan berat tanggungjawabnya. Saya sebenarnya sangat berminat untuk membantu YAB Menteri Besar dalam portfolio ini kerana saya fikir ada banyak perkara yang saya boleh buat, ada banyak perkara yang kita boleh laksanakan untuk menjadikan Pahang sebagai sebuah gergasi ekonomi atau pusat hub ekonomi yang pesat, berkembang maju.

“Dengan keupayaan kita untuk menarik pelaburan ini akan memberi kesan kepada pendapatan dan juga tahap sosioekonomi rakyat negeri Pahang di mana kita nak tingkatkan pendapatan mereka. Dan rakyat dapat menikmati kadar pendapatan yang tinggi tapi kita juga kena tingkatkan keupayaan rakyat negeri Pahang dengan kemahiran,” katanya.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim

Tambah beliau lagi, bagi portfolio berkaitan sains dan teknologi, galakan untuk menarik lebih banyak syarikat baharu berteraskan teknologi perlu dilaksanakan di negeri ini.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, portfolio yang digalas merupakan satu cabaran kepada diri beliau.

“Saya tak jangka YAB Menteri Besar akan beri portfolio ini kepada saya tapi saya bersedia untuk menerima apa sahaja tugas yang diberi dan ia merupakan satu cabaran kepada saya.

“Saya akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada mantan exco sebelum ini berkaitan perancangan dan pelan yang dirancang bagi portfolio ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram