Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 13 DISEMBER 2022 : Portfolio 10 Exco baharu Kerajaan Negeri Pahang yang dilantik pada 2 Disember lepas akan diumumkan esok.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau telah mengambil kira pelbagai aspek berkenaan diri exco terlibat sebelum mengumumkan portfolio ini.
“Esok saya akan umumkan portfolio exco di mana ianya pada peringkat akhir. InsyaAllah kita mengambil kira latar belakang, keupayaan, kemampuan, sekiranya berkenaan.
“Dan saya percaya mereka boleh menjalankan tugas seperti mana yang telah ditetapkan oleh portfolio masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutup Pahang Plantations and Commodities Festival and Symposium 2022 dan Pahang Commodities Exhibition of Innovation and Technology 2022 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang; Naib Canselor UCYP, YH Prof Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi.
Sementara itu, mengulas mengenai penyaluran bantuan banjir kepada mangsa terjejas di negeri ini beliau berkata bantuan asas telah diberi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bantuan awal banjir macam biasa, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan pergi ke hadapan dan kita akan bagi bantuan-bantuan asas.
“Lain-lain (bantuan kepada mangsa banjir) kita akan pertimbangkan kemudian. Sebab banjir pun kita harap tidak berlaku kerana ini pun baru permulaan (musim tengkujuh). Hari ini hujan hanya di Kuantan sahaja, saya diberitahu. Di daerah lain tidak ada hujan dan setakat ini terkawal (keadaan banjir),” katanya.
Mengulas mengenai program Commodities Festival and Symposium 2022 dan Pahang Commodities Exhibition of Innovation and Technology 2022 ini, beliau berkata ia merupakan satu program yang memberi jaminan keselamatan makanan di negeri ini.
“Saya kira program pada hari ini merupakan satu program yang tidak kurang pentingnya dalam memacu masa hadapan Negeri Pahang yang kini memberi tumpuan kepada jaminan dan keselamatan makanan melalui pertanian, perternakan, perladangan dan sektor-sektor yang berkaitan dengan penghasilan sumber makanan.
“Saya berharap agar semua pemain industri dan agensi-agensi berkaitan dapat bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi dan kemahiran untuk melahirkan inovasi-inovasi baharu yang dapat memberi manfaat kepada sektor-sektor utama perladangan mahupun perindustrian agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat dan masyarakat sejagat,” katanya. -PAHANGMEDIA