JUMLAH MANGSA BANJIR DI PAHANG TURUN KEPADA 433 ORANG

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 13 DISEMBER 2022 : Seramai 433 mangsa banjir dari tiga daerah di Pahang iaitu Temerloh, Bera dan Pekan masih ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah masing-masing.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Pahang, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini menurun kepada 433 mangsa berbanding 449 mangsa pada jam 8.00 pagi tadi.

“Bagi Daerah Temerloh, sebuah PPS telah dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan yang menempatkan seramai 339 mangsa daripada 103 keluarga.

“Di Bera pula sebanyak dua PPS dibuka iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Buntar yang menempatkan 26 mangsa daripada tujuh keluarga manakala PPS SK Kerayong pula menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga.

“Manakala bagi Daerah Pekan pula telah membuka sebuah PPS di SK Sinar Mutiara yang menempatkan 68 mangsa daripada 16 keluarga,” menurut kenyataan berkenaan.

Berdasarkan kenyataan itu juga, sehingga kini Pahang telah mencatatakan seramai 1,896 mangsa banjir daripada 544 keluarga yang telah ditempatkan di 39 PPS.

Kenyataan itu juga memaklumkan kesemua daerah di Pahang akan mengalami hujan di kebanyakan tempat di sepanjang hari dengan beberapa daerah mengalami ribut petir di beberapa tempat. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram