Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 13 DISEMBER 2022 : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyediakan sebanyak 272 pasukan terdiri daripada 149 pasukan perubatan dan 123 pasukan kesihatan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula sejak September lalu hingga Mac 2023.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pasukan perubatan ini berperanan memberi rawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Manakala pasukan kesihatan pula melakukan aktiviti pencegahan, pemantauan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.
“JKNP juga telah menyediakan 95 pasukan Mental Health and Psychosocial Support Services (MHPSS) dalam menangani isu kesihatan mental di kalangan mangsa banjir di PPS,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, bermula 7 Disember sehingga kini secara kumulatif terdapat 20 pasukan perubatan telah ditugaskan di semua PPS seluruh Pahang antaranya daerah Lipis, Raub, Temerloh, Jerantut dan Bera.
“Seterusnya 18 pasukan kesihatan secara kumulatif ditugaskan melakukan pencegahan, pemantauan persekitaran dan kawalan penyakit di PPS,” katanya.
Tambahnya, MHPSS juga telah memberikan sokongan psikososial kepada 243 mangsa banjir secara kumulatif sehingga kini antaranya adalah relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan.
JKNP turut menasihati orang ramai mengambil makanan dan minuman yang bersih serta tidak tercemar bagi mengelakkan penyakit bawaan air dan keracunan makanan, taun (kolera), hepatitis A dan demam kepialu (tifoid) semasa banjir. – PAHANGMEDIA