YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat mangsa banjir di SMK Seri Semantan, Temerloh.

KERAJAAN PAHANG SIAP SEDIA HADAPI MUSIM TENGKUJUH

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 12 DISEMBER 2022 : Kerajaan Pahang akan memastikan segala persiapan bagi menghadapi banjir pada musim tengkujuh ketika ini sentiasa mencukupi dan semua pihak berada di dalam keadaan bersiap sedia.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan memberikan tumpuan terhadap persiapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir dan kenderaan yang diperlukan sentiasa berada dalam keadaan baik dan mencukupi.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus dalam memastikan pusat-pusat pemindahan banjir, stok makanan dan pengangkutan telah bersedia demi memastikan rakyat dapat dibantu,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Beliau sempat melawat seramai 370 mangsa daripada 111 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan di Temerloh, petang tadi.

Dalam hantaran beliau di Facebook, beliau turut menasihatkan semua rakyat Pahang khususnya yang berada di kawasan berisiko banjir agar sentiasa peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada musim tengkujuh ini.

“Sama-sama kita doakan agar Allah Subhanahu Wata’ala menjauhkan kita semua daripada wabak, bala, dan bencana. Aamiin,” katanya.

Sehingga jam 8 malam tadi, Pahang mencatatkan tiga daerah yang terlibat banjir iaitu Temerloh, Bera dan Pekan dengan jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 444 orang daripada 128 keluarga.

Kesemua mereka kini ditempatkan di empat PPS di daerah masing-masing iaitu PPS SMK Seri Semantan di Temerloh, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong dan PPS SK Seri Buntar di Bera manakala PPS SK Sinar Mutiara di Pekan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram