MANGSA BANJIR MENURUN KEPADA 405 ORANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 12 DISEMBER 2022 : Mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 405 mangsa setakat ini berbanding 573 mangsa pagi tadi yang melibatkan dua daerah iaitu Bera dan Temerloh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Pahang, APM Negeri Pahang, hanya tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di negeri ini setakat ini.

“Di Temerloh, satu PPS dibuka menempatkan 370 mangsa daripada 111 keluarga iaitu di PPS SMK Sri Semantan.

“Di Bera, sebanyak dua PPS dibuka menempatkan 10 keluarga yang melibatkan 35 mangsa. Di PPS SK Sri Buntar, ditempatkan seramai 26 mangsa daripada tujuh keluarga, manakala di PPS SK Kerayong menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir (JPBD) Raub, Pegawai APM Raub, Kapten (PA) Samasuddin Kambade setakat 2 petang hari ini semua lima PPS di Raub telah pun ditutup sepenuhnya.

“Adalah dimaklumkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Raub bagi kejadian bencana banjir 2022 pada 11 Disember 2022 (Ahad) akan ditutup sepenuhnya pada jam 10.00 pagi 12 Disember 2022 (Isnin) melibatkan PPS Ulu Atok dan PPS Balairaya Kampung Chenua.

“Adalah dimaklumkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Raub bagi kejadian bencana banjir 2022 pada 11 Disember 2022 (Ahad) akan ditutup sepenuhnya pada jam 2.00 petang 12 Disember 2022 (Isnin).

“Kesemua PPS terlibat adalah PPS Balairaya Kampung Ria, PPS Masjid Kuala Semantan, dan PPS Balairaya Sengkela,” menurut kenyataan berkenaan.

Manakala menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lipis, setakat 3 petang ini kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS di daerah berkenaan telah pun dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Adalah dimaklumkan semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Lipis bagi kejadian bencana banjir 2022 mulai 07 Disember 2022 (Rabu) telah ditutup sepenuhnya pada jam 3.00 petang 12 Disember 2022 (Isnin). Ia melibatkan PPS SK Lubuk Kulit dan PPS Masjid Kampung Beletik,” menurut kenyataan tersebut. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram