Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 DISEMBER 2022 : Mangsa banjir yang dipindahkan ke 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini kekal 573 orang setakat pagi ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Pahang, kesemua mangsa dipindahkan melibatkan lima daerah terjejas iaitu Lipis, Bera, Temerloh, Raub, dan Jerantut.
Sebanyak lima PPS dibuka di Raub yang menempatkan 53 mangsa daripada 13 keluarga; dua PPS dibuka di Lipis melibatkan 89 mangsa dari 28 keluarga; dua PPS di Bera dengan 28 mangsa dari sembilan keluarga; satu PPS di Temerloh menempatkan 383 mangsa daripada 114 keluarga; dan sebuah PPS dibuka di Jerantut menempatkan 20 mangsa daripada tujuh keluarga.
Di Raub, mangsa ditemptkan di PPS SK Ulu Atok, PPS Masjid Kuala Semantan, PPS Balairaya Kampung Ria; Balairaya Kampung Sengkela, dan Balairaya Kampung Chenua; di Lipis (PPS SK Lubuk Kulit, PPS Masjid Beletik).
Manakala di Bera, PPS yang dibuka adalah di PPS SK Seri Buntar dan PPS SK Kerayong; di Temerloh (PPS SMK Sri Semantan); dan di Jerantut (PPS Balairaya Kampung Sempadan).
Paras air sungai di enam buah sungai utama juga menunjukkan trend menaik melibatkan Sungai Jelai di Kuala Medang, dan Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai Jempol, Sungai Kundang, dan Sungai Pahang di Lubuk Paku di Maran; serta Sungai Lepar di Jambatan Gelugor di Kuantan.
Paras air di kesemua sungai utama juga berada pada para waspada, amaran, dan bahaya setakat pagi ini di mana Sungai Triang di Bera dan Sungai Pahang di Lubuk Paku merekodkan paras bahaya.
Manakala Sungai Serting, Bera; Sungai Jempol, dan Sungai Luit, Maran; serta Sungai Belat, Kuantan berada para paras amaran.
Baki lima lagi sungai utama iaitu Sungai Jelai, dan Sungai Tanum, Lipis; Sungai Semantan, Temerloh; Sungai Kundang, Maran; serta Sungai Lepar, Kuantan berada pada paras waspada. – PAHANGMEDIA