KUANTAN, 9 DISEMBER 2022 : Yayasan Pahang (YP) telah dinobatkan antara 65 syarikat yang menerima anugerah HR Asia Best Companies To Work for In Asia 2022.
YP terpilih bersama 310 penyertaan pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia termasuk Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia, CIMB Berhad, Pharmaniaga Berhad, Takaful Malaysia, IOI Properties dan Mass Transit Corporation.
YP dalam satu hantaran di Facebook berkata, HR Asia Best Companies to Work for in Asia merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh HR Asia bagi mengiktiraf organisasi seluruh Asia dalam bidang kecemerlangan pengurusan sumber manusia, penjenamaan majikan dan libaturus warga kerja.
“Organisasi yang menyertainya perlu melalui proses penilaian berdasarkan kaji selidik berteraskan TEAM (Total Engagement Assessment Model) kepada warga kerja yang dipilih secara rawak,” katanya.
Menurut hantaran itu lagi, penilaian yang dilaksanakan ini kemudiannya akan dibandingkan dengan purata skor pasaran semasa.
“Bagi kesemua soalan penilaian, YP telah mendapat skor mengatasi purata skor pasaran semasa. YP juga berjaya melalui panel penilai dan diiktiraf sebagai sebuah organisasi yang prihatin kepada masyarakat dan warga kerjanya,” katanya.
Majlis penyampaian anugerah berlangsung berlansung di One World Hotel, Petaling Jaya malam tadi yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif YP, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi.
Yayasan Pahang juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Lembaga Pengarah YP, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan semua Ahli Lembaga Pengarah yang sentiasa memberi idea bernas, sokongan padu dan galakan terhadap kemajuan YP. – PAHANGMEDIA